Kemas kini imej visual Bing – 2016

Seperti yang mungkin hampir keseluruhan pengguna OSM tahu bahawa Bing – enjin gelintar Microsoft – ialah salah satu tabir utama yang amat membantu dalam mengemaskini data OSM.

Di Malaysia, kali terakhir kemas kini dibuat ialah sekitar awal tahun 2015, kalau tidak silap penulis, itupun sekadar pemerhatian di sekitar Semenanjung. Tidak dinafikan, hanya beberapa tempat sahaja yang dapat menikmati mutu imejan yang berkualiti tinggi dan/atau imejan yang terkini (dirakam pada tahun 2013/14).

Manakala tempat-tempat utama lain masih kekal dengan imejan yang telah ketinggalan zaman: misalnya Pulau Pinang dengan imejan sekitar tahun 2008, dan contohnya kebanyakan tempat luar bandar di Kelantan dengan imejan dari tahun 2003! Selain itu, bagi tempat lain langsung tidak dapat merasai imejan resolusi tinggi – Bing hanya dapat menyediakan imejan dari satelit Landsat 7 sekitar awal tahun 2000-an.

Bagaimana metadata tahun imejan dapat diketahui? Ada peralatan yang dikenali sebagai Bing Coverage Analysis Tool, sekarang sudah tiada lagi. Walau bagaimanapun, metadata tersebut masih boleh diakses melalui penyunting JOSM. Hanya klik kanan dan pilih Show tile info.

Continue reading “Kemas kini imej visual Bing – 2016”

OpenStreetMap dan Pokémon GO

Seluruh ceruk dunia bergembira dengan permainan mudah alih Pokémon GO™ yang boleh dimainkan di iPhone dan Android (harap maaf pengguna peranti Windows 10 Mobile, inilah nasib badan dalam dunia duopoli).

Dalam usaha cuba menangkap makhluk maya ini, dalam portal-portal dan forum-forum riuh dengan pelbagai ikhtiar untuk menentukan sarang makhluk tertentu. Pelbagai teori telah dikemukakan. Salah satunya ialah menghubung kaitkan ciri-ciri tertentu dalam OpenStreetMap (OSM) dengan sarang-sarang tersebut.

Entahlah, selagi Niantic – syarikat yang menerbitkan permainan ini – bisu lidahnya untuk mengiyakan bahawa pembangun-pembangunnya telah menggunakan pangkalan data OSM (di luar peta Korea Selatan) bagi menentukan sarang-sarang tersebut; selagi itulah misteri nusantara ini tidak dapat dibuktikan.

“Saling kait bukanlah penyebab!” bak kata internet.

Maka, demi menyeru makhluk-makhluk terbabit, ada yang telah membuka akaun OSM. Tiada masalah selagi tidak membuat sebarang kerosakan. Terima kasih daun keladi bagi yang mungkin cuba membelek panduan orang baru [dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris] dan telah membuat suntingan yang baik.

Walau bagaimanapun, begitulah takdir apa-apa jua yang bersifat terbuka – dalam bab pengkomputeran terutamanya. Mungkin amat terdesak, sehingga membuat suntingan khayalan; dan merosakkan suntingan-suntingan yang telah disumbangkan oleh pelbagai pengguna OSM otai. Selagi tak dapat tangkap Pokémon yang diidamkan, selagi itulah…

Ingat! Pangkalan data OSM ini bukan hak milik khas pemain Pokémon GO sahaja ya. Sudah namanya peta, maka data OSM ini ialah tulang belakang aplikasi pandu arah seperti MAPS.ME dan OsmAnd. Tak semestinya digunakan sebagai pemandu arah sahaja, tetapi turut diguna sebagai peta latar seperti dalam Swarm/Foursquare. Itu satu, dua bendalah.

Kualiti data OSM di Malaysia pula tidaklah seperti dalam produk peta Google, Waze, HEREWeGo, Malfreemaps dan seumpamanya. Tak mengapa, boleh luangkan masa menambah baik kualiti data peta. Cuma jangan tiru peta-peta lain sajalah! Kalau tiru, dah lama kualiti peta OSM ini jauh lebih bagus (dan kemudiannya kena saman serba serbi sebab langgar hak cipta).

Apa-apapun, selamat datang pengguna baru OSM. Jangan buat semak. Buat apa-apa yang patut sahaja. Hehehe.

1Malaysia Map

(Huh, nama bahasa Inggeris je?)

Baiklah, Peta 1Malaysia atau nama glamor bahasa Inggerisnya 1MalaysiaMap ialah alat penatap maklumat geospatial semua dalam satu hasil usaha Pusat Infrastruktur Data Geospatial Negara (Malaysian Centre for Geospatial Data Infrastructure, MaCGDI). Pendek cerita, MaCGDI ini diletakkan bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Continue reading “1Malaysia Map”

Keanehan pangkalan data peta Google

Tajuk catatan blog kali ini ialah rumusan cetusan jiwa penulis.

Bukannya apa, Google Street View (yang amatlah dicemburui penulis) dapat dicapai melalui program penyunting peta Google Map Maker. Sepatutnya kod jalan raya di seluruh Malaysia (lagi-lagilah di Kedah); boleh jadi jauh lebih tepat, selain dapat dikemaskini dengan mudah lagi segera. Tetapi, sangatlah pelik, nampaknya “nikmat” kamera jalan Google Street View tidak digunakan dengan sepenuhnya.

Misalnya, jalan bercabang empat ini yang berada di pinggir pekan Pokok Sena. Dua jalan mempunyai kod rujukan yang salah. Yang mana satu? Gunalah Google Street View!

Apa? Ingin penulis perbaikinya sendiri? Harap maaf. Penulis enggan bekerja tanpa gaji untuk Google. Syarikat korporat gergasi seperti Google sepatutnya menggunakan laba syarikat yang sangat masyuk untuk memastikan produk tawarannya bermutu tinggi. Bukannya mengharapkan orang ramai semata-mata (yang memang bukan pekerja syarikat itupun!) membuat pembetulan, tambah-tambah lagi tanpa diberi sebarang ganjaran.

Itu crowd-serf namanya.

Satelit Sentinel-2

Baru-baru ini riuh sebentar tentang data dari Sentinel-2 seperti yang dikarang dalam catatan diari PlaneMad dan MapMakinMeyers. Katanya data terbuka ehsan Agensi Angkasa Lepas Eropah, air tangan “Program Copernicus”. Pautan akses data disediakan tetapi kaedahnya agak rumit bagi mendapatkan data yang dikehendaki.

Continue reading “Satelit Sentinel-2”