OpenStreetMap dan Pokémon GO

Seluruh ceruk dunia bergembira dengan permainan mudah alih Pokémon GO™ yang boleh dimainkan di iPhone dan Android (harap maaf pengguna peranti Windows 10 Mobile, inilah nasib badan dalam dunia duopoli).

Dalam usaha cuba menangkap makhluk maya ini, dalam portal-portal dan forum-forum riuh dengan pelbagai ikhtiar untuk menentukan sarang makhluk tertentu. Pelbagai teori telah dikemukakan. Salah satunya ialah menghubung kaitkan ciri-ciri tertentu dalam OpenStreetMap (OSM) dengan sarang-sarang tersebut.

Entahlah, selagi Niantic – syarikat yang menerbitkan permainan ini – bisu lidahnya untuk mengiyakan bahawa pembangun-pembangunnya telah menggunakan pangkalan data OSM (di luar peta Korea Selatan) bagi menentukan sarang-sarang tersebut; selagi itulah misteri nusantara ini tidak dapat dibuktikan.

“Saling kait bukanlah penyebab!” bak kata internet.

Maka, demi menyeru makhluk-makhluk terbabit, ada yang telah membuka akaun OSM. Tiada masalah selagi tidak membuat sebarang kerosakan. Terima kasih daun keladi bagi yang mungkin cuba membelek panduan orang baru [dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris] dan telah membuat suntingan yang baik.

Walau bagaimanapun, begitulah takdir apa-apa jua yang bersifat terbuka – dalam bab pengkomputeran terutamanya. Mungkin amat terdesak, sehingga membuat suntingan khayalan; dan merosakkan suntingan-suntingan yang telah disumbangkan oleh pelbagai pengguna OSM otai. Selagi tak dapat tangkap Pokémon yang diidamkan, selagi itulah…

Ingat! Pangkalan data OSM ini bukan hak milik khas pemain Pokémon GO sahaja ya. Sudah namanya peta, maka data OSM ini ialah tulang belakang aplikasi pandu arah seperti MAPS.ME dan OsmAnd. Tak semestinya digunakan sebagai pemandu arah sahaja, tetapi turut diguna sebagai peta latar seperti dalam Swarm/Foursquare. Itu satu, dua bendalah.

Kualiti data OSM di Malaysia pula tidaklah seperti dalam produk peta Google, Waze, HEREWeGo, Malfreemaps dan seumpamanya. Tak mengapa, boleh luangkan masa menambah baik kualiti data peta. Cuma jangan tiru peta-peta lain sajalah! Kalau tiru, dah lama kualiti peta OSM ini jauh lebih bagus (dan kemudiannya kena saman serba serbi sebab langgar hak cipta).

Apa-apapun, selamat datang pengguna baru OSM. Jangan buat semak. Buat apa-apa yang patut sahaja. Hehehe.

Advertisements