Google Local Guides

Penat-penat berjalan-jalan, pusing pekan-pekan atau bandar-bandar… dan “bekerja untuk Google” dengan upah simpanan awan 1TB yang boleh dimansuhkan bila-bila sahaja ikut Google. Iya, hanya simpanan awan Google Drive sahaja; walaupun Google, suatu korporat raksasa sebenarnya mampu “membalas jasa” local guides ini dalam bentuk kewangan misalnya. Tak pun, kupon minuman kopi. Ingat tak penat?

Belasungkawa khas untuk Google Map Maker yang telah dimansuhkan secara rasminya pada 31 Mac 2017 yang lalu.

Kemas kini imej visual Bing – 2016

Seperti yang mungkin hampir keseluruhan pengguna OSM tahu bahawa Bing – enjin gelintar Microsoft – ialah salah satu tabir utama yang amat membantu dalam mengemaskini data OSM.

Di Malaysia, kali terakhir kemas kini dibuat ialah sekitar awal tahun 2015, kalau tidak silap penulis, itupun sekadar pemerhatian di sekitar Semenanjung. Tidak dinafikan, hanya beberapa tempat sahaja yang dapat menikmati mutu imejan yang berkualiti tinggi dan/atau imejan yang terkini (dirakam pada tahun 2013/14).

Manakala tempat-tempat utama lain masih kekal dengan imejan yang telah ketinggalan zaman: misalnya Pulau Pinang dengan imejan sekitar tahun 2008, dan contohnya kebanyakan tempat luar bandar di Kelantan dengan imejan dari tahun 2003! Selain itu, bagi tempat lain langsung tidak dapat merasai imejan resolusi tinggi – Bing hanya dapat menyediakan imejan dari satelit Landsat 7 sekitar awal tahun 2000-an.

Bagaimana metadata tahun imejan dapat diketahui? Ada peralatan yang dikenali sebagai Bing Coverage Analysis Tool, sekarang sudah tiada lagi. Walau bagaimanapun, metadata tersebut masih boleh diakses melalui penyunting JOSM. Hanya klik kanan dan pilih Show tile info.

Continue reading “Kemas kini imej visual Bing – 2016”

OpenStreetMap dan Pokémon GO

Seluruh ceruk dunia bergembira dengan permainan mudah alih Pokémon GO™ yang boleh dimainkan di iPhone dan Android (harap maaf pengguna peranti Windows 10 Mobile, inilah nasib badan dalam dunia duopoli).

Dalam usaha cuba menangkap makhluk maya ini, dalam portal-portal dan forum-forum riuh dengan pelbagai ikhtiar untuk menentukan sarang makhluk tertentu. Pelbagai teori telah dikemukakan. Salah satunya ialah menghubung kaitkan ciri-ciri tertentu dalam OpenStreetMap (OSM) dengan sarang-sarang tersebut.

Entahlah, selagi Niantic – syarikat yang menerbitkan permainan ini – bisu lidahnya untuk mengiyakan bahawa pembangun-pembangunnya telah menggunakan pangkalan data OSM (di luar peta Korea Selatan) bagi menentukan sarang-sarang tersebut; selagi itulah misteri nusantara ini tidak dapat dibuktikan.

“Saling kait bukanlah penyebab!” bak kata internet.

Maka, demi menyeru makhluk-makhluk terbabit, ada yang telah membuka akaun OSM. Tiada masalah selagi tidak membuat sebarang kerosakan. Terima kasih daun keladi bagi yang mungkin cuba membelek panduan orang baru [dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris] dan telah membuat suntingan yang baik.

Walau bagaimanapun, begitulah takdir apa-apa jua yang bersifat terbuka – dalam bab pengkomputeran terutamanya. Mungkin amat terdesak, sehingga membuat suntingan khayalan; dan merosakkan suntingan-suntingan yang telah disumbangkan oleh pelbagai pengguna OSM otai. Selagi tak dapat tangkap Pokémon yang diidamkan, selagi itulah…

Ingat! Pangkalan data OSM ini bukan hak milik khas pemain Pokémon GO sahaja ya. Sudah namanya peta, maka data OSM ini ialah tulang belakang aplikasi pandu arah seperti MAPS.ME dan OsmAnd. Tak semestinya digunakan sebagai pemandu arah sahaja, tetapi turut diguna sebagai peta latar seperti dalam Swarm/Foursquare. Itu satu, dua bendalah.

Kualiti data OSM di Malaysia pula tidaklah seperti dalam produk peta Google, Waze, HEREWeGo, Malfreemaps dan seumpamanya. Tak mengapa, boleh luangkan masa menambah baik kualiti data peta. Cuma jangan tiru peta-peta lain sajalah! Kalau tiru, dah lama kualiti peta OSM ini jauh lebih bagus (dan kemudiannya kena saman serba serbi sebab langgar hak cipta).

Apa-apapun, selamat datang pengguna baru OSM. Jangan buat semak. Buat apa-apa yang patut sahaja. Hehehe.

Ekstrak peta OpenStreetMap mingguan dalam aplikasi pandu arah

Panjangnya tajuk catatan. Penulis baru sahaja menjumpai perkhidmatan yang menyediakan ekstrak peta OpenStreetMap untuk aplikasi pandu arah luar talian (Android sahaja kalau tak silap). Kemas kini dibuat secara mingguan dan disediakan untuk aplikasi Osmand (Osmand+), maps.me dan Navit. Dan yang penting, percuma!

Aplikasi yang telah disebutkan hanya menyediakan kemas kini peta setiap sebulan sekali. Kadang kala, menurut pengalaman penulis, perubahan yang dikehendaki kadang-kadang tidak muncul meskipun suntingan telah dibuat hampir dua bulan ketika muat turun peta terkini telah dibuat.

Continue reading “Ekstrak peta OpenStreetMap mingguan dalam aplikasi pandu arah”

1Malaysia Map

(Huh, nama bahasa Inggeris je?)

Baiklah, Peta 1Malaysia atau nama glamor bahasa Inggerisnya 1MalaysiaMap ialah alat penatap maklumat geospatial semua dalam satu hasil usaha Pusat Infrastruktur Data Geospatial Negara (Malaysian Centre for Geospatial Data Infrastructure, MaCGDI). Pendek cerita, MaCGDI ini diletakkan bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Continue reading “1Malaysia Map”